Sunday, October 24, 2010

teruskan berkorban untuk agama


Sama ada suasana aman atau kacau-bilau, jihad tetap wajib di sisi Islam. Lihat bagaimana ulama' terdahulu, berkorban harta dan nyawa untuk melakukan penyelidikan menyediakan karya-karya hebat, buat rujukan untuk zaman-berzaman. Imam Bukhari, dilaporkan meninggal kerana sakit akibat terlalu fokus kepada penulisan Sahih al-Bukhari, begitu juga Imam Muslim, meninggal kerana sakit akibat fokus menghasilkan Sahih Muslim. Tapi hasilnya, mereka meninggalkan legasi unggul sepanjang zaman. Itulah penangan jihad. Jihad, menurut al-Qaradawi dalam buku Fiqh Jihad, berbeza dengan peperangan. Jihad maksudnya lebih umum, sedangkan jihad peperangan hanyalah wajib sekiranya keadaan memerlukan.


Kewajipan berjihad tidak akan terpadam sampai ke hari kiamat. Firman Allah: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. " [al-Tawbah: 41] Arahan tentang kewajipan berperang di jalan Allah, dan berjihad dengan harta dan nyawa, tidak pernah dimansuhkan walau dalam keadaan aman.

Seteleh pembukaan kota Mekah yang berlaku pada tahun 628 Masihi, diceritakan oleh Ibn 'Abbas r.a., bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda pada hari pembukaan kota Mekah, "Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan ini kecuali kerana jihad dan niat yang baik, dan sekiranya diperintahkan supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan kebaikan, maka keluarlah" [Riwayat Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siyar, No 2613]

Pada awalnya hijrah adalah wajib bagi orang Islam. Namun setelah pembukaan kota Mekah, Rasulullah telah memansuhkan hukum wajib berhijrah daripada Mekah ke Madinah. Namun begitu hukum wajib berhijrah masih lagi kekal kepada minoriti Muslim di negara kafir yang mana mereka ada kemampuan untuk lari berhijrah ke negara lain. Yang pasti, hijrah turut perlu dilakukan kerana dua sebab; kerana berjihad untuk menegakkan kebenaran Islam, dan kerana niat yang baik.

Justeru, kita masih digalakkan untuk melakukan hijrah untuk melaksanakan niat yang baik seperti menuntut ilmu dan mencurahkan ilmu kepada masyarakat. Jika pahala mereka yang berhijrah untuk menuntut ilmu itu ibarat jihad fi sabilillah, maka, secara "dilalah al-nas" atau "minore ad maius", pahala mereka yang berhijrah untuk mengembangkan ilmu lebih-lebih lagi lah besarnya. Ia bukan sekadar untuk mendapatkan sekupang dua buat mengisi perut ahli keluarga, tetapi ia adalah niat yang besar untuk mengembangkan agama Allah.

Apa pun, yang jelas ialah hadis tersebut memberi gambaran kepada umat Islam akhir zaman bahawa mereka tidak perlu melakukan migrasi seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi menghayati hijrah melalui jihad dan niat. Konsep jihad dan niat perlu difahami betul-betul lantas dihayati melalui amalan yang berstrategi, untuk mengulangi kejayaan kali kedua sebagaimana kejayaan Rasulullah menakluk semula Mekah daripada para kafir Quraisy.

Amalan paling utama di sisi Allah adalah jihad pada jalan-Nya. Dan jihad yang paling utama ialah sanggup mengorbankan nyawa, masa hidup atau harta demi mempertahankan agama-Nya. Imam as-Syatibi dalam bukunya al-Muwafaqat, menjelaskan bahawa agama ialah perkara (asas) daruri yang menduduki tahap keutamaan pertama kemudian barulah diikuti dengan nyawa, akal, keturunan dan harta. Menurut beliau, bukti bahawa agama ialah perkara asas utama iaitu Allah telah mensyariatkan jihad untuk mempertahankan agama, walaupun seseorang itu terpaksa menggadaikan nyawanya. Itulah jihad yang paling utama di dalam Islam.

Dalam konteks hari ini, umat Islam terutamanya di Malaysia, tidak perlu langsung menggadaikan nyawa untuk melaksanakan dan mengamalkan Islam. Jauh berbeza seperti zaman awal kedatangan Islam. Justeru, andainya kita tidak perlu menggadai nyawa, maka pergunakanlah seluruh nyawa itu untuk mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Bukan sahaja seorang tentera yang mempertaruhkan nyawa di perlimbangan untuk mempertahankan tanah air Islam, tetapi seorang guru memperuntukkan seluruh hidupnya untuk mencari jalan terbaik mendidik anak bangsa. Seorang pelajar pula memenuhi hidup hariannya dengan menuntut ilmu sebanyaknya, sebelum memperjuangkannya. Seorang petani bersabung nyawa di ladang dan sawah untuk menghasilkan tanaman untuk memenuhi keperluan masyarakat. Begitu juga dengan yang lain sama ada pekerja kilang, mekanik, ahli akademik, penulis, penggiat seni, ahli korporat dan ahli politik, jihad mereka ialah memenuhi peruntukan nyawa mereka yang singkat itu untuk memajukan agama dan bangsa. Inilah jihad mendaulatkan Islam sebagai agama yang tertinggi dan mulia.

Motivasi

Jihad biasanya difahami sebagai usaha keras fizikal yang diniatkan ikhlas kerana Allah. Andainya jihad itu berupa spiritual dan kerohanian, maka biasanya digunakan perkataan `mujahadah' yang dalam bahasa Arabnya juga berasaskan kata dasar yang sama dengan perkataan `jihad'. Mujahadah, menurut Imam al-Ghazali (m. 1111M), ialah proses melawan nafsu buruk dan bisikan syaitan untuk meningkatkan martabat nafsu ke arah tingkat yang lebih terdidik dan sempurna. Sebelum kaki melangkah ke medan juang dan sebelum terangkatnya pedang, sudah tentu seseorang itu sudah ada satu kuasa dalaman yang menjana keberanian. Kuasa dalaman inilah yang dikatakan nafsu. Nafsulah yang menjadi punca motivasi dan keikhlasan diri dalam melakukan sesuatu perkara.

Tidak akan wujud amalan yang berkualiti, andainya nafsu buruk masih menguasai diri. Bagaimana mungkin kita dalam berusaha gigih dan ikhlas dengan jiwa yang lemah motivasinya. Justeru, Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis, Orang yang berjihad itu ialah yang dapat melawan nafsunya. Melawan nafsu di sini ialah melawan nafsu yang jahat dengan mendidik diri dengan rasa kehambaan. Mendidik nafsu daripada nafsu amarah (ammarah bi al-su') menjadi nafsu lawwamah, dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutma'innah iaitu peringkat nafsu yang paling tinggi. Namun bukan senang untuk mendidik nafsu. Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, proses mendidik nafsu memerlukan satu usaha yang berterusan, dan sentiasa membuat pemerhatian yang mendalam (muraqabah) terhadap diri sendiri dan hubungan dengan Allah.

Bahkan Imam al-Ghazali mengatakan bahawa proses mendidik nafsu ini adalah sangat sukar kerana dua sebab: Pertama, kerana musuh (nafsu jahat) yang diperangi itu ialah musuh yang disayangi, bukan dibenci. Andainya musuh itu kita benci, mudah dikalahkan kerana didorong oleh kebencian dan kemarahan. Tetapi nafsu kita amat menyayanginya. Kedua, kerana musuh itu berada di dalam bukan di luar. Andainya rumah kita diserang perompak tetapi perompak itu berada di luar rumah, senang untuk kita membunuhnya dengan mengunci pintu lantas menembak dari dalam. Tetapi nafsu, ibarat musuh yang berada di dalam rumah, kita berjalan, makan, tidur, bangun dan bergiat sentiasa bersama-samanya. Ah, sukarnya untuk menghapuskan musuh sebegini. Bahkan mungkin kita sendiri tidak tahu yang sentiasa bersama-sama kita itu adalah musuh.

Oleh sebab itu, Ibn Qayim r.h. (m. 1350M) mengatakan bahawa proses mujahadah memerlukan empat langkah. Pertama, mempelajarinya dengan baik segala petunjuk yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Usahakan diri untuk memahami Islam sebaik-baiknya sama ada dengan menghadiri majlis-majlis ilmiah, atau membaca buku-buku yang mengajar tentang Islam. Bahkan kalau zaman sekarang, bukalah Youtube wacana-wacana ilmiah yang tinggi mutunya. Fahami bagaimana akhlak mulia dan kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam. Pelajari bagaimana selok belok ibadah yang sempurna serta tepat seperti anjuran sunah Rasulullah. Kita juga boleh berbincang dengan sahabat-sahabat yang lebih tahu tentang agama, kerana dengan ini sahaja mereka dapat mengenalkan kita tentang kebaikan dan keburukan.

Kemudian langkah kedua ialah dengan mengamalkan apa yang kita pelajari. Islam bukan agama diskusi atau forum tetapi agama praktikal. Ilmu yang tidak diamalkan umpama telefon bimbit tanpa simcard. Adalah amat memalukan andainya anda menayangkan telefon bimbit yang mahal tapi tidak dapat diaplikasikan untuk bercakap mahu pun menerima SMS! Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kita berhijrah daripada sekadar bercakap tentang Islam, kepada mengamalkan Islam. Ramai yang pandai berbicara tentang negara Islam, tetapi amat sedikit yang mampu menegakkan `negara Islam' di dalam diri sendiri.

No comments:

Post a Comment