There was an error in this gadget

Saturday, January 28, 2012

menilai tindakan Adam Adli

Memikirkan kebahagiaan bererti memikirkan apa yang terjadi sebelumnya dan apa yang akan terjadi nanti dan sampai batas tertentu, berfikir terlalu jauh itu,boleh mengusik kebahagiaan itu sendiri." "Jangan berputus asa jika otak tumpul dan kurang cerdas, kerana seseorang yang tumpul otaknya tetapi tidak berputus asa lebih maju daripada orang yang cerdas tetapi pemalas.



Negara gempar dengan insiden 17 Disember, di mana seorang aktivis telah menurunkan bendera Perdana Menteri tatkala ratusan mahasiswa turun ke jalan raya bagi menjunjung prinsip kebebasan akademik.

Berkali-kali sahabat saya yang lain bertanya tentang isu ini, dan ini pendapat saya:

Pertama sekali saya ingin merakam tahniah di atas kejayaan mahasiswa yang berjaya membawa  tuntutan mereka ke tengah untuk diberi perhatian yang lebih apabila berjaya menyerahkan dua memorandum – kepada Suhakam dan satu lagi kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri. 

Kesudian Timbalan Menteri untuk turun dan bertemu mahasiswa juga harus dipuji dan dihargai. Saya secara peribadi mengagumi cara dan toleransi yang ditunjukkan beliau, selain peribadi beliau yang berakhlak, beretika dan sifar skandal.

Namun isu yang lebih penting di sini ialah tindakan Adam Adli yang menurunkan bendera Perdana Menteri  sewaktu  acara klimaks kepada program itu. Solidariti Mahasiswa Malaysia seperti yang dijangka telah menyokong sepenuhnya tindakan Adam dalam hal ini berdasarkan beberapa hujah.

Saya juga merasakan tidak ada masalah dengan tindakan itu. Hal ini kerana, bendera yang diturunkan langsung tidak dipijak,dikoyak atau diconteng.  Bendera yang hanya diturunkan selama beberapa minit itu juga akhirnya dinaikkan semula ke tempat asalnya. 

Kita boleh katakan tindakan Adam sebagai kurang ajar jika dia menurunkan bendera Malaysia yang menjadi lambang kebanggaan dan imej negara kita. Dalam hal ini, Adam tidak berbuat demikian. 

Sebaliknya, Adam telah menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri dan bendera tersebut langsung tidak melambangkan imej negara kita. Maka, soal biadab atau kurang ajar langsung tidak wujud dalam polemik ini.

Teguran buat Adam

Sebagai  teman mahasiswa, ingin saya ambil kesempatan ini untuk menegur Adam Adli dalam beberapa perkara. Pertama, jika ingin melakukan acara simbolik seperti menurunkan bendera, pastikan beliau membawa sendiri bendera yang ingin digunakan dalam acara simbolik tersebut. Adalah kurang manis sebagai orang luar yang datang ke PWTC untuk menceroboh bendera kepunyaan mereka.

Saya sertakan di sini satu analogi. Sewaktu kita berdemo menentang keganasan zionis dalam beberapa episod demonstrasi  sebelum ini, kita telah mengekspreskan kemarahan kita dengan membakar bendera negara Israel dan sekutu mereka, Amerika Syarikat. 

Adakah para demonstran telah menurunkan bendera Amerika Syarikat yang terdapat di kedutaan mereka? Jawapannya tidak. Kita tidak menurunkan bendera yang ada di kedutaan Amerika Syarikat untuk acara simbolik membakar bendera sebaliknya membawa bendera Amerika Syarikat kepunyaan kita sendiri.

Itulah yang harus dilakukan Adam Adli agar tidak dilihat keterlaluan. Beliau  perlu faham status PWTC yang merupakan ‘rumah’ UMNO. Apa yang dilakukan pada 17 Disember tempoh hari telah membuatkan beliau dilihat sebagai penceroboh dan bukannya orang yang menyatakan protes kepada kepimpinan sedia ada.

Teguran buat penyokong kerajaan

Sejurus selepas Adam Adli menurunkan bendera itu dan menaikkan bendera kebebasan akademik, maka ada pihak yang ingin menjuarai isu ini dengan kononnya menyatakan kemarahan kepada mahasiswa.

Saya langsung tidak peduli jika mereka ingin berasa marah atau apa sekali pun. Tetapi tindakan mereka yang mengugut dengan kekerasan langsung tidak mencerminkan keperibadian Melayu yang kononnya menjadi wadah perjuangan mereka selama berdekad-dekad. Sebaliknya, perangai mereka berani saya sifatkan sebagai samseng murahan dan terdesak untuk mencari perhatian !

Apakah wajar untuk seseorang yang tidak jelas jasanya kepada Melayu mengiktiraf diri mereka sendiri sebagai ‘panglima’? Apakah wajar individu-individu sebegini berniat untuk meludah mahasiswa? Apakah mahasiswa ini hanya sekadar sampah-sampah picisan untuk diludah sesuka hati?

Jika benar Adam Adli telah melakukan sesuatu yang mereka kurang senang, tegurlah beliau dengan kaedah yang berhikmah. Hal ini tidak perlu saya ajarkan di sini memandangkan mereka lebih senior dan sepatutnya tahu cara untuk menegur Adam dan kami adik-adik mahasiswa dengan pendekatan yang baik dan rasional.
Tetapi sayang, golongan ‘panglima ‘ ini lebih berminat menggunakan ‘ludah’  berbanding teguran yang membina dan bermanfaat.

Ingin saya tinggalkan satu soalan kepada mereka, di mana mereka tatkala warga luar berpesta menghina negara kita dan membakar bendera negara kita suatu masa dulu? Adakah sifat kejantanan dan kepahlawanan panglima-panglima ini hanya berkesan pada mahasiswa sahaja?

Moga semua pihak beroleh pengajaran daripada peristiwa 17 Diesember 2011. Moga semua berada dalam perlindungan , petunjuk dan rahmat Allah.

mahasiswa sedia hidup tanpa auku

Memikirkan kebahagiaan bererti memikirkan apa yang terjadi sebelumnya dan apa yang akan terjadi nanti dan sampai batas tertentu, berfikir terlalu jauh itu,boleh mengusik kebahagiaan itu sendiri." "Jangan berputus asa jika otak tumpul dan kurang cerdas, kerana seseorang yang tumpul otaknya tetapi tidak berputus asa lebih maju daripada orang yang cerdas tetapi pemalas.


Saya tertarik untuk menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan AUKU ketika beliau menjawab soalan seorang peserta Konvensyen Integriti Nasional 2011 di PICC, Putrajaya, baru-baru ini. “Are you ready for it? Kalau saudara kata yes, mengapa tidak? Mungkin kerajaan akan kata, kalau begitu kita tak perlu akta lagi ataupun kita pinda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa digagahi oleh mana-mana satu kuasa perundangan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau pelajar sudah kata, “saya tahu apa yang saya patut buat dan kerajaan tidak perlu bimbang, dan kami akan tumpukan sepenuh masa kepada pelajaran serta penglibatan dalam politik hanyalah untuk mengetahui apakah politik itu supaya mereka tidak terasing daripada perubahan semasa dalam negara,” soal pokok goes back to you (mahasiswa). “Kalau saudara kata kami sudah bersedia dan tak perlu kerajaan mengadakan sistem untuk perundangan kawalan, maka selepas ini kita akan katakan eloklah ia dikaji. Ini adalah pandangan secara kasar saya,” kata Muhyiddin.

Jawapan yang berani dan mengkagumkan.Namun jika sekadar retorika, politik itu suatu penipuan dan omongan kosong yang sangat menjijikkan.Jika ditanya mahasiswa adakah sudah bersedia atau tidak, saya selaku pimpinan mahasiswa akan menjawab "mahasiswa sudah lama bersedia untuk hidup tanpa AUKU". Akan tetapi persoalannya sekarang adakah kerajaan benar-benar serius untuk memansuhkan AUKU? Kita sedia maklum bahawa AUKU merupakan akta yang memang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. AUKU juga merupakan alat yang paling berbisa kepada Hal Ehwal Pelajar di kampus bagi mengekang kemaraan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan sesuatu isu.

AUKU sememangnya perlu di mansuhkan kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 pada tahun lepas sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama. Pada pandangan saya,niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas mahasiswa.Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981.

Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan.

Kewujudan AUKU telah menyekat peranan mahasiswa yang sepatutnya menjadi agen semak dan imbang kepada pihak kerajaan. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran.

Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan dan cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi? Saya fikir seandainya mahasiswa terlibat dengan politik tidak bermaksud mereka akan mengabaikan pelajaran mereka.Pelajaran tetap perkara pertama yang perlu diutamakan.Namun dalam masa yang sama mahasiswa itu perlulah tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa negara mahupun isu-isu bersifal global. Bahkan bukan sekadar perlu tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa,mahasiswa juga perlu merespon dan membawa solusi terhadap sesuatu isu itu di atas idea pandang mahasiswa.

Justeru saya berharap agar segala persoalan yang dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam konvensyen intergriti baru-baru ini perlulah dikotakan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.Jika ISA boleh dimansuhkan,saya fikir AUKU juga tidak ada masalah untuk dimansuhkan.Saya amat yakin seandainya AUKU dimansuhkan, mahasiswa Malaysia akan lebih matang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara dengan lebih baik.Lantas mencerminkan bakal tampuk kepimpinan negara yang benar-benar berkualiti dan berintelektual.

Penulis adalah YDP Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya.