Sunday, October 24, 2010

Siapa Yazid Bin Muawiyyah Ra


usaha untuk memburuk-burukan para sahabat Rasulullah oleh musuh Islam biasanya akan dimulakan dengan memburukkan Yazid r.h, kerana khalifah Yazid bin Muawiyyah bukanlah terdiri daripada sahabat Nabi. Maka musuh Islam, melalui usaha tulisan sejarah palsu yang direka-reka sehingga akhirnya tidak sedikit umat Islam yang terpengaruh akibat usaha yang begitu licik ini. Maka tidaklah pelik jika banyak buku sejarah Islam yang ditulis ramai penulis Islam, turut memaparkan keburukan khalifah Yazid.

Marahkan Anak, Sindir Menantu

Hakikatnya tulisan ini bukanlah untuk memihak kepada sesiapa, dan bukanlah untuk menyalahkan sesiapa, tetapi sekadar mengambil pendekatan yang adil dan saksama, agar tidak membuka ruang kepada musuh Islam untuk memburuk-burukkan sahabat Nabi, terutama Muawiyyah yang telah melantik Yazid, anak beliau, sebagai khalifah. Menyebarkan Yazid sebagai khalifah yang jahat dan berperangai buruk, secara tidak langsung memburukkan Sayyidina Muawiyyah yang bertanggungjawab melantiknya. Bahkan pada masa yang sama menghina para sahabat Nabi yang lain, yang mengaku taat setia (bai'ah) kepadanya, seperti Ibn Umar, dan Ibn Abbas. Teorinya, jika Yazid diburukkan, maka yang yang dipersalahkan ialah Muawiyah, kerana kononya kerana tamak dan gilakan kuasa, sehingga sanggup melantik anak sendiri yang jahat, semata-mata ingin mencipta sistem monarki beraja!

Termasuk dalam artikel yang memburukkan Yazid, dalam ruangan bicara agama akhbar utusan, bertarikh 12 Oktober 2010. Tapi saya tidak terkejut dengan tulisan itu memandangkan banyak artikel ruangan sebelum ini yang memburuk-burukkan Muawiyah sendiri.

Siapa Yazid?

Yazid bin Muawiyah bin Abi Sufyan, ialah khallifah Islam yang ke-7 selepas Muawiyah r.a. daripada kalangan kaum Arab Quraysh. Itu jika dikirakan tempoh khalifah Hasan bin Ali r.a sebagai khalifah, walaupun sekejap. Yazid dilahirkan pada tahun 26 Hijrah semasa bapanya, menjadi gabenor Sham di bawah pemerintahan Sayyidina Uthman. Justeru, Yazid bukanlah sahabat Nabi s.a.w. Namun untuk memburukan beliau, lebih baik berhati-hatilah.

Menurut Sheikh Muhammad Khudari Bik, pengarang buku "Itmam al-Wafa' fi Sirah al-Khulafa'" yang terkenal itu, pelantikan Yazid sebagai khalifah telah dbuat pada zaman Muawiyah r.a setelah muawiyah mengambil pandangan daripada seluruh bandar taklukan Islam ketika itu. Ini terbukti menyanggah fitnah jahat musuh Islam bahawa Muawiyah adalah pengasas sistem monarki beraja. Pada waktu itu, ramai lagi sahabat Rasululah yang terkemuka yang masih hidup seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, isteri nabi Aisyah dan ramai lagi.

Menurut Muhammad al-Khudari lagi, pelantikan Yazid, setelah pandangan para sahabat diambil, lalu diberikan taat setia oleh sebilangan besar sahabat, kecuali beberapa orang sahaja, iaitu Abdullah Ibn Zubayr r.a. dan Husayn bin Ali r.a.

Logiknya, para sahabat Rasulullah s.a.w tidak akan merestui sekiranya seorang khalifah itu jahat dan zalim atau jahil. Ini kerana syarat untuk menjadi khalifah bukanlah sebarangan kerana syaratnya adalah ketat. Bahkan seorang mujtahid dalam bidang agama.

Muhammad bin Ali bin Abi Talib al-Hanafiyah r.a (anak Khalifah Ali r.a. yang paling alim), sepertinya dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah, mengatakan bahawa Yazid adalah seorang yang sangat baik dan soleh bahkan sangat menjaga sembahyangnya, juga seorang yang berpegang teguh kepada sunnah.

Ini membuktikan bahawa Yazid bukanlah seburuk yang digambarkan sejarah. Sekalipun kita juga tidak mengganggap Yazid sebagai seorang yang terbaik di kalangan mereka atau tidak pernah melakukan kesilapan.

Fitnah Ibn Zubayr

Abdullah bin Zubayr selepas itu melancarkan beberapa siri pemberontakan tetapi akhirnya ditumpaskan pada zaman khalifah Abd Malik bin Marwan.

Sebagai seorang Islam, kita juga tidak wajar untuk membela serangan terhadap sehabat Nabi Abdullah Ibn Zubayr ini sekalipun beliau banyak melakukan pemberontakan sehingga tercetus siri-siri peperangan. Kita anggap itu adalah ijtihad beliau sebagai seorang sahabat, tetapi ijtihad itu, pada mata kita, adalah mungkin kurang tepat, kerana Rasululah s.a.w sendiri telah melarang melakukan pemberontahan untuk menjatuhkan pemerintah yang dipilih secara sah. Bahkan jika dilihat dalam mana-mana karya sarjana hadis terutama Sahih Muslim, hampir semua sarjana hadis menyifatkan pemberontakan Ibn Zubayr sebagai 'Fitnah Ibn Zubayr'. Ia seakan cerita sejarah yang sudah dimaklumi oleh para ulama' hadis. Tetapi atas prinsip tidak mahu menyalahkan sahabat dalam apa jua isu, ulama' tetap menghormat Ijtihad Ibn Zubayr sebagai seorang sahabat. Apa pun, Abdullah ibn Zubayr telah memberikan sumbangna yang tidak sedikit kepada Islam.

Dituduh Pembunuh Husayn bin Ali r.a.

Yazid dikatakan sangat kejam sehingga dituduh membunuh sahabat dan juga cucu Rasulullah, Husayn. Kita sedia maklum bahawa Husayn juga ada melakukan pemberontakan terhadap khalifah Yazid, tetapi dalam menghormati sahabat Rasulullah, Yazid tidaklah sekejem itu seperti ditulis oleh majoriti penulis sejarah. Sarjana hadis Islam menolak sekeras-kerasnya fitnah tersebut.

Ibn Kathir dalam buku sejarahnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-Nihayah berkata, ".. Ibn Asakir telah melaporkan banyak cerita yang mencerca Yazid Bin Muawiyah tetapi semuanya ternyata palsu.."

Ibn al-Solah, seorang ulama' hadis yang masyhur, juga menjelaskan bahawa semua cerita tentang pembunuhan Husayn oleh Yazid adalah bohong. Bahkan para sarjana lain seperti Ibn al-Arabi, Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, turut menafikan cerita tersebut. Bahkan mereka menyifatkan Yazid tidak merestui pun, pembunuhan itu.

Yazid Menurut Gambaran Imam Bukhari

Bagi saya, daripada kita mempercayai tulisan sejarah para sarjana yang mana sandaran dan sumbernya boleh dipertikaikan itu, cukuplah bagi kita untuk menerima hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari rh. yang mana kita semua memperakui karya Bukhari sebagai sumber hadis yang paling sahih. Ummu Haram menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Tentera pertama yang berperang menggunakan jalan laut telah pasti akan mendapat Syurga Allah. Kata Ummu Haram, "Adakah aku termasuk di kalangan mereka?" Rasulullah menjawab, "Ya, kamu di kalangan mereka", Nabi s.a.w berkata lagi, "dan pasukan tertera terawal di kalangan umatku yang menyerang negara Qaisar (Konstantinopel), maka telah diampunkan bagi mereka dosa-dosa mereka. Ummu Haram bertanya lagi, "aku termasuk di kalangan mereka?" Rasulullah s.a.w berkata, "Tidak" [Bukhari, Kitab Jihad, No 2707/ Muslim, Kitab Imarah, 3535].

Dan sejarah membuktikan bahawa tentera pertama yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu adalah Yazid bin Muawiyah. Yazidlah yang mengetuai bala tentera menyerang konstentipel buat pertama kalinya. Yazidlah termasuk dalam golongan yang diampunkan dosa-dosanya. Adakah orang yang diisyaratkan Rasulullah ini boleh disifatkan sebagai kejam dan zalim??

Dalam sebuah hadis yang lain, Imam Bukhari ingin mengisyaratkan kepada kelebihan Yazid seperti dalam hadis yang diceritakan oleh Nafi', ketika terdapat segolongan di Madinah yang memberontak dengan Yazid bin Muawiyah, Ibn Umar telah mengumpulkan semua saudara dan anak-anaknya lalu berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, akan dipacakkan tiang bendera pada belakang orang pada hari kiamat. Dan sesungguhnya kita telah mengistiharkan taat setia kepada lelaki ini (Yazid bin Muawiyah) berasaskan kepada taat setia yang sah di sisi Allah dan Rasul-Nya. Dan aku tidak tahu petanda dosa yang lebih besar daripada dosa memerangai orang yang telah diberi taat setia ke atas berasaskan Allah dan Rasul-Nya. Dan aku tidak mahu tahu di kalangan kamu sekalian yang memungkirinya atau pun diputuskan sahaja tali silaturrahim antara aku dan dia! [Bukhari, Kitab al-Fitan, No 6578]

Jelas Imam Bukhari mengisyaratkan bahawa ketegasan Ibn Umar terhadap keluarganya bahawa pelantikan Yazid adalah berasaskan peraturan Allah dan Rasululah sendiri, sehingga sanggup memutuskan tali persaudaraan dengan mereka yang sanggup memeranginya.

Jika beginilah gambaran Yazid oleh Bukhari di kalangan para sahabat Nabi, maka untuk menerima cerita tentang kejahatan Yazid, kezaliman beliau, adalah jauh sekali. Bahkan pada zaman beliaulah umat Islam mula mengecapi nikmat kekayaan, dan kemegahan. Beliau adalah khalifah ketujuh daripada keturunan Quraysh yang mana Rasulullah s.a.w bersabda: "Agama Islam ini akan terus kuat sehingga 12 khalifah. Semuanya daripada kalangan Quraysyh. Semuanya dari kalangan Quraysy." [Hadis Riwayat Muslim]

Seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Basyir, r.a berkata, "Yazid bukanlah yang terbaik di kalangan kita, dan bukan juga yang paling faqih, Tetapi Demi Allah, aku lebih sukakan perpaduan umat Muhammad daripada mereka berpecah-belah" (al-Awasim wa al-Qawasim).

Jelas, inilah yang menjadikan Muawiyah memikirkan untuk melantik Yazid, ia sebenarnya idea para sahabat beliau juga agar umat Islam ketika itu tidak terus diporak-perandakan oleh Syiah. Kerana kerja Syiah pada masa itu bukanlah untuk menaikan keluarga Ali seperti Husayn sebenarnya, tetapi kerja mereka adalah untuk memporak-perandakan Islam. Sebagai seorang sahabat yang berpandangan jauh, Muawiyah telah nampak isu ini. Kes pembunuhan Umar, Uthman, dan Ali sendiri telah membuktikan segala-galanya. Langkah melantik Yazid adalah langkah yang paling tepat untuk menjaga survival kerajaan Islam ketika itu.

Sehinggalah kini Islam tersebar luas hingga ke tanah Melayu dan dinikmati oleh kita semua. Di tanah melayu Islam dikatakan diterima daripada pendakwah India, seperti dakwaan Snouck Hurgronje. Bagaimana Islam boleh sampai ke India? Pada zaman khalifah Umawiyah lah Islam tersebar luas, terutama peranan Hajjaj Bin Yusuf al-Thaqafi yang diceritakan sebagai zalim juga!!

No comments:

Post a Comment