Sunday, October 24, 2010

Asas Hukum Ibadah Dalam Islam

sesungguhnya objektif utama wujudkan manusia di muka bumi ini adalah untuk menjadi hamba kepada Allah. Perhambaan kepada Allah bukan sekadar melalui usaha melakukan ibadah seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir dan sebagainya, tetapi pada masa yang sama akur dengan sistem dan peraturan yang ditetapkan dalam urusan sosial seperti berniaga, bekerja, cari wang, cari harta, berumah tangga, bermasyarakat dan seumpamanya. Semuanya ada hukum-hakam yang mesti dipatuhi, dan sumber hukum itu sudah tentu daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Sekalipun hukum sama ada Ibadah mahupun Muamalat kedua-duanya mesti berasaskan al-Quran dan sunnah, namun asas dalam cara penentuan hukum itu sangat berbeza. Ini kerana dalam konteks ibadah kepada Allah, kita memerlukan dalil terlebih dahulu, sebelum menunaikan sesuatu ibadah. Tanpa dalil yang konkrit, ibadah itu haram dilakukan. Rasulullah secara tegas dalam hadisnya menyatakan, "Sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu yang baru dalam urusan ibadah ini, yang bukan daripadanya, maka ia sebenarnya tertolak" [Bukhari & Muslim] Imam Bukhari telah menetapkan bab khusus tentang berpegang dengan kitab Allah, yang mana menjelaskan hadis-hadis yang melarang umatnya mengada-ngadakan sesuatu yang baru dalam Ibadah. Begitu juga Imam al-Syatibi, menggunakan tajuk yang hampir sama dengan Imam Bukhari rh, iaitu al-I'tisam, sebagai buku yang menjelaskan bahawa perlunya konsisten dengan dalil Syariah untuk menentukan kesahihan sesuatu ibadah.

Masalah sesetengah masyarakat kita sekarang, apabila dipertikaikan asas sesuatu amalan tentang sumber dalilnya, mereka terus mengecop orang yang mempertikaikan itu sebagai wahabi dan seumpamanya. Ya, kita akur, sesetengah kaedah yang digunakan oleh ulama' dahulu adakalanya tidak ada dalam Sunnah tetapi merupakan pendekatan mereka untuk 'tackle' masyarakat pada zaman mereka untuk beribadah kepada Allah. Namun, kita juga perlu akur, bahawa dengan perubahan zaman dan masa, adalah wajar sesuatu amalan itu dinilai semula berasaskan sumbernya yang sebenar.

Kita juga hairan kenapa sesetengah golongan sangat alergi dengan perkataan bidaah dalam ibadah. Jika diteliti daripada hadis-hadis yang terdapat dalam Sahih Bukhari, para sahabat sangat senstif tentang isu bidaah. Lebih-lebih lagi zaman para sahabat adalah zaman 'awal' Islam yang mana mereka akan menjadi rujukan kepada umat terkemudian. Segala amalan mereka akan diambil kira. Sikap sensitif ini adalah sangat signifikan, agar umat terkemudian tidak terkeliru yang mana betul bersumberkan Nabi, dan yang mana sekadar pandangan peribadi mereka. Hasilnya, para ahli hadis menganggap, para sahabat tidak akan mengeluarkan pendapat mereka tentang sesuatu yang disifatkan sebagai ibadah, kecuali pasti mereka akan dengar daripada Rasulullah. Bahkan dalam ilmu hadis, jika sahabat bercakap tentang sesuatu ibadah tanpa menyandarkan kepada Nabi, para sarjana tetap menganggap hadis tersebut sebagai marfu'. Iaitu hadis itu tetap dianggap seperti disandarkan kepada Nabi s.a.w, kecuali jika dinyatakan sebaliknya.

Jika ada orang yang cuba meminta dalil tentang sesuatu amalan yang dianggap ibadah, contohnya seperti dalil sembahyang hajat, dalil sembahyang tasbih, dalil sembahyang malam pengantin baru, dalil sambutan nisfu Syaaban, adalah wajar dikemukakan dalil dengan baik, dan tidak terus mengecop sebagai wahabi dan seumpamanya. Jika semua orang yang sensitif dengan amalan bidaah dikatakan wahabi, mengapa tidak dicop terus Imam Bukhari atau Imam Nawawi sebagai wahabi?

Perlu diingatkan, kalaupun sensitif sangat dengan gerakan Muhammad bin Abd Wahhab yang dikaitkan dengan nama Wahabi, seseorang itu tetap perlu faham bahawa Wahabi itu gerakan yang baharu. Isu bidaah telah lama dibicarakan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nawawi, Imam Syafi'i, Imam Malik ramai lagi para tabi'in yang lebih awal daripada itu pun.

Kita tidak nafikan, sesetengah pendapat Ibn Taymiyyah, Muhammad bin Abd Wahhab mahupun Nasiruddin al-Albani adakalanya agak keras kritikan mereka, walaupun terhadap ulama'. Tetapi itu tidak bermakna kita (yang tentunya tidak sehebat mereka) boleh masuk campur dalam urusan kritikan mereka. Pada saya sendiri, adakalanya kritikan sesetengah sarjana aliran yang dikatakan wahabi ini memang keras. Bahkan ada juga yang kita tidak bersetuju dengannya. Tetapi ini tidak bermakna kita boleh maki hamun mereka, menuduh mereka sesat, dan seumpamanya. Biarlah mereka dengan kritikan mereka kalau pun anda tidak mempersetujuinya, dan ambillah yang baik daripada kritikan itu.

Proses menjaga keaslian atau kemurnian ibadah ini bukan suatu yang mudah. Tanpa wujudkan sarjana hadis yang sentiasa mengawal, jadi check and balance dalam menilai amalan masyarakat, sesuatu ibadah akhirnya menjadi sekadar adat isitiadat yang tidak tahu hujung pangkalnya. Yang menambah masalah ialah segolongan ulama' sendiri bermati-matian mempertahankan amalan yang bersumberkan hadis daif, atas alasan, hadis daif boleh dipakai dalam fadilat sesuatu amalan. Padahal jika diteliti, para sarjana memberikan syarat tertentu, jika ingin beramal dengan hadis daif terutama dalam ibadah. Antara syaratnya ialah amalan yang dilakukan itu perlu dahulu disahkan wujud dalam hadis yang sahih, manakala fadilatnya sahaja wujud dalam hadis yang daif, maka hadis daif itu boleh dipakai untuk tujuan menggalakkan orang beribadah. Dengan kata lain, jika wujud hadis tentang fadilat sesuatu amalan, tetapi amalan itu sendiri hanya wujud dalam hadis yang daif, maka amalan itu wajar ditinggalkan.

Mengapa Perlu Sensitif Soal Ibadah?

Rasulullah s.a.w amat sensitif dengan ibadah, kerana umat terdahulu telah hancur dan sesat kerana sikap mengada-ngada mereka dalam ibadah. Masyarakat, jika dibiarkan beribadah mengikut kepala mereka, mereka akan menambah sedikit demi sedikit ajinomoto untuk menyedapkan rasa, dengan alasan untuk jadikan ibadah lebih 'happening' atau seumpamanya, akhir ibadah tulen susah untuk dikesan lagi, bahkan mungkin sudah jauh daripada falsafah asalnya.

Cuba bayangkan jika tidak ada sarjana yang mengawal sambutan birthday Rasulullah s.a.w. Dengan alasan untuk memuliakan Nabi, tau menjadikan sambutan birthday Nabi itu lebih 'happening' mungkin pelbagai karut-marut lagi dicipta. Mungkin ada yang sebut, "kalau sambutan keputeraan Raja pun sudah ada lampu gilang gemilang, mengapa tidak Nabi?" Lepas tu ditambah itu dan ini akhirnya menjadi seperi upacara perarakan agama lain yang menyusahkan orang ramai untuk melakukan kerja-kerja seharian. Jalan raya ditutp kerana perarakan dan seumpamanya. Itu belum dikira lagi, cerita-cerita dongeng yang disebarkan sempena keputeraan Rasulullah. Keajaiban semasa kelahiran Rasulullan dan semasa kanak-kanak baginda, dan semua cerita karut disebarkan. Dengan alasan untuk menggalakkan orang mendengar.

Sebab itu sarjana hadis terutamanya, sangat sensitif soal ibadah. Agar ibadah tidak bercampur baur dengan adat setempat. Kita tidak nafikan adakalanya perlu memasukkan pendekatan 'local' dalam ibadah untuk menggalakkan masyarakat melakukan ibadah. Tetapi pendekatan setempat itu perlu kawalan yang amat rapi dan sensitif, agar sesuatu ibadah itu dapat dibezakan antara 'ibadah' dan 'pendekatan'. Ertinya, mesti ada satu golongan yang sentiasa sensitif tentang kemurnian sesuatu ibadah, agar masyarkat dapat memahami yang mana sebenarnya merupakan pendekatan, dan yang mana sebenarnya ibadah yang asalnya dalam Islam.

Sebab itu jika kita teliti pendapat sarjana, Imam Malik contohnya, pernah menyatakan puasa enam hari itu bidaah. Imam Ibn Taymiyyah mengatakan bahawa baca surah al-Sajdah pagi jumaat itu bidaah. Adakah mereka tidak tahu wujudkan hadis-hadis tentang itu? Tidak, mereka tahu sebenarnya, tetapi mereka melihat wujud kecenderungan masyarakat mereka untuk menjadikan ibadah sunat yang boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan itu sudah menjadi seperti wajib. Itu yang menjadikan mereka tegas tentang ini, agar ibadah yang sebenar akan terus kekal murni untuk dipraktikkan oleh masyarakat akan datang.


Falsafah Ibadah Adalah Ubudiyyah

Ibadah ertinya melakukan perhambaan kepada Allah dan falsafahnya adalah untuk mendidik diri merasakan jiwa ini sebagai hamba kepada Allah. Sifat ibadah itu sendiri adalah menerima tanpa banyak soal dan tanya. Itulah jiwa hamba. Menerima apa sahaja yang ditetapkan, akur tanpa berani mempersoalkannya. Itulah sifat hamba kepada Tuhan.

Akan tetapi, jika kretiviti dibenarkan dalam ibadah, setiap masyarakat boleh menambah itu dan ini dalam zikir dan doa, maka akan hilanglah sifat yang menjadi falsafah ibadah itu sendiri. Memandai dalam urusan ibadah bererti mempertikai ketetapan yang telah diwujudkan oleh Allah. Sebab itu, dalam sebuah hadis dalam sahih Bukhari, sahabat tersalah menyebut Rasulullah, sedangkan dalam lafaznya adalah Nabiyullah, itu pun diperbetulkan oleh Rasulullah, padahal maksudnya bukan banyak sangat bezanya! Maka sahabat menerima tanpa banyak soal lagi.

Itulah rahsia ibadah, menerima tanpa banyak soal, tanpa mengubah sesuatu dan tanpa menambahkan sesuatu pun. Pelbagai doa dan zikir yang diajar oleh Rasulullah dalam hadis yang sahih, itu pun sudah tidak cukup waktu untuk kita amalkannya, mahu lagi ditambah dengan perkara yang tidak ada dalil yang sahih. Akhirnya falsafah perhambaan terhadap Allah tidak lagi dicapai lagi.

Kesimpulan

Tidak ada kreativiti dibenarkan Islam dalam urusan amalan ibadah kepada Allah. Yang perlu ada adalah, dengar daripada dalil yang sahih, kemudian amalkannya. Jika pun ingin mewujudkan pendekatan tertentu untuk menarik masyarakat beribadah, adalah sangat penting memastikan bahawa pendekatan yang digunakan tidak disalah anggap sebagai ibadah yang telah ditetapkan oleh Rasulullah. Menetapkan sesuatu bacaan pada malam tertentu tanpa wujud dalil, mungkin boleh untuk amalan peribadi, tetapi jangan sampai ketetapan itu dianggap sunat. Dengan kata lain, jangan sampai pendekatan yang digunakan itu juga dianggap ibadah.

Apa yang terbaik adalah kembali kepada dalil yang sahih. Agar kemurnian dan falfasah ibadah itu sentiasa kekal dihayati, bukan sekadar menjadi amalan.

No comments:

Post a Comment