Tuesday, February 7, 2012

HAKIKAT DAN KAEDAH PERSAHABATAN

Memikirkan kebahagiaan bererti memikirkan apa yang terjadi sebelumnya dan apa yang akan terjadi nanti dan sampai batas tertentu, berfikir terlalu jauh itu,boleh mengusik kebahagiaan itu sendiri." "Jangan berputus asa jika otak tumpul dan kurang cerdas, kerana seseorang yang tumpul otaknya tetapi tidak berputus asa lebih maju daripada orang yang cerdas tetapi pemalas.




            

Motto

الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين

“(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
[al-Zukhruf:67]

Manusia adalah makhluk yang hidup berkumpulan dan bermasyarakat. Manusia perlu berkawan, berkenalan dan berinteraksi. Manusia tidak boleh mengasingkan diri dan bersikap seperti kera sumbang. Walaupun begitu dalam berinteraksi dan mencari kenalan, manusia yang beriman perlu mempunyai pedoman yang tertentu. Mereka perlu mengenali hakikat orang yang mereka berinteraksi dengan mereka. Mereka wajar memahami perbezaan antara apa yang dipanggil sebagai kenalan, teman, rakan atau sahabat. Jadi dengan kefahaman yang jelas tentang perbedaan perkataan-perkataan tersebut mereka boleh berinteraksi dengan cara dan etika yang betul dan sesuai. 

Kenalan ialah figure yang anda kenali dalam apa jua kesempatan. Ia belum tentu boleh menjadi rakan atau sahabat. Ia adalah peringkat perkenalan pertama ; di mana manusia terdedah dengan pertemuan yang di rancang atau tidak dirancang.

Manakala teman pula ialah mereka yang menemani anda dalam sesuatu fungsi atau acara. Ia mungkin kenalan anda atau insan yang berpotensi untuk menjadi rakan atau sahabat atau mungkin juga berpotensi menjadi musuh anda. Ia lebih merujuk kepada fungsi menemani seseorang dalam situasi tertentu.

Rakan ialah figure yang anda selalu berinteraksi dengannya samada kerana jawatan atau tempat seperti rakan sejawat, rakan setempat tinggal  dan sebagainya. Lumrahnya terdapat pertemuan dan perulangan interaksi dengan nya kerana pekerjaan atau kerana lokasi dan kejiranan.

Manakala sahabat pula ialah orang yang anda mempunyai hubungan yang sangat akrab dengannya; dimana anda dapat mengharapkan pertolongannya ketika berhadapan dengan kesulitan. Sahabat adalah rakan karib yang dapat membantu anda. Sahabat mempengaruhi sikap seseorang. Sahabat mempunyai martabat yang lebih khusus dan tinggi dalam hiraki perkenalan. Sahabat adalah bagaikan cermin untuk anda dapat membetulkan kecacatan diri, penampilan rupa diri, mendapat kritikan dan teguran yang membina dan sebagainya.

Islam memang menggalakkan manusia membentuk hubungan kemanusiaan dengan orang lain dalam segala peringkat dan darjatnya. Islam menggalakkan umatnya berkenalan dan memberi salam kepada orang yang mereka kenal atau tidak kenal. Ini adalah tradisi hidup yang bertamaddun. Manusia perlu menghargai orang lain dan menampilkan penghargaan dan penghormatan antara satu sama lain kerana mereka adalah setaraf sebagai manusia dan makhluk Allah. Sahabat adalah harta dan senjata bagi seseorang.

Walaupun Islam menggalakan persahabatan dan menganggap manusia itu adalah makhluk saraan Allah yang mempunyai martabat yang sama, semuanya berasal dari Adam, namun Islam menggesa supaya umatnya berhati-hati dalam memilih sahabat. Rasulullah SAW bersabda:
عن أبي هريرة عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال» المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
 “Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah/bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat.”
[Riwayat Ahmad]

Rasulullah SAW bersabda:
عن أنس قال قال رسول الله صلى اللهم عليه وسلم «.... ومثل الجليس الصالح كمثل صاحب المسك إن لم يصبك منه شيء أصابك من ريحه ومثل جليس السوء كمثل صاحب الكير إن لم يصبك من سواده أصابك من دخانه »
“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi samada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.”
[Riwayat Abu Daud]

Rasulullah SAW bersabda lagi, bermaksud:
“Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat.”
[Al-Mustadrak ala al Sahihain]

عن أبي سعيد عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال « لا تصاحب إلا مؤمنا ... »
"Jangan bersahabat kecuali dengan orang Mu’min." 
[Riwayat Abu Daud]

Persahabatan yang kental dijalin oleh keimanan dan semangat persaudaraan yang mendalam. Persaudaraan perlu berlandaskan atas lunas-lunas berikut :-

1. Persaudaraan hendaklah semata-mata kerana Allah.

            Persahabatan sewajarnya dijalin bukan atas dasar kebendaan dan kepentingan tertentu, tetapi hendaklah didasarkan kepada keimanan dan kerana Allah semata-mata. Ini adalah agar persahabatan tersebut diberkati oleh Allah. Muslim meriwayatkan sabda Nabi SAW yang mengatakan bahawa; ada seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung. Allah menempatkan di tengah jalan seorang Malaikat menunggunya. Apabila orang berkenaan bertemu Malaikat itu, Malaikat pun bertanya; apakah pemergian engkau ke rumah sahabatnya itu kerana engkau hendak mendapatkan apa-apa habuan? Orang berkenaan menjawab; tidak, saya pergi kerana saya sayang padanya kerana Allah.

2. Persaudaraan hendaklah digandingi oleh iman dan taqwa.

Rasulullah SAW bersabda:
عن أبي سعيد عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال « ... ولا يأكل طعامك إلا تقي »

        “Janganlah memakan jamuan anda melainkan orang yang bertaqwa.”
[Riwayat Abu Daud]

3. Persaudaraan hendaklah dilandaskan atas manhaj Islam.

        Sesuai dengan maksud hadith yang menerangkan bahawa antara orang-orang yang akan dinaungi oleh lembayung Allah pada hari kiamat kelak ialah: dua orang yang bersahabat dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah, bersatu kerana Allah dan berpecah kerana Allah.

4. Persaudaraan hendaklah mengamalkan dasar saling nasihat-menasihati.

            Rasulullah SAW bersabda:

عن أبي هريرة عن رسول الله صلى اللهم عليه وسلم قال « المؤمن مرآة المؤمن والمؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته ويحوطه من ورائه »

“Orang Mu’min adalah ibarat cermin bagi Mu’min yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya”
[Riwayat Abu Daud]

     Jika temannya itu enggan menerima nasihat, sebaliknya terus berazam melakukan maksiat maka ia hendaklah menjauhinya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan:

« أوثق عرى الإيمان: الموالاة في الله، والمعاداة في الله، والحب في الله، والبغض في الله »

“Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan  berkonfrantasi demi Allah, kasih demi Allah, bencipun demi Allah.”
[Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr]

5. Persaudaraan hendaklah dihayati dengan semangat tolong menolong ketika senang dan susah

Rasulullah s.a.w. bersabda:

« من كان معه فضل ظهر فليعد به على من لا ظهر له ومن كان له فضل من زاد فليعد به على من لا زاد له »
“Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah ia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan leibih maka hendaklah ia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan.”
[Riwayat Muslim]

Di antara cara mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan ialah:

1.  Memberitahu saudara kita bahawa kita sayang padanya. Rasulullah s.a.w.  mengingatkan dalam hadithnya:
عن المقدام بن معدي كرب وقد كان أدركه عن النبي صلى اللهم عليه وسلم قال « إذا أحب الرجل أخاه فليخبره أنه يحبه»
“Jika seseorang itu sayang pada sahabatnya maka hendaklah ia beritahu bahawa ia menyayanginya.”
             [Riwayat Abu Daud]

2.    Apabila kita berpisah dengannya kita mengharapkan do’a daripadanya dari jauh. Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan;
عن عمر رضي اللهم عنهم قال استأذنت النبي صلى اللهم عليه وسلم في العمرة فأذن لي وقال « لا تنسنا يا أخي من دعائك فقال كلمة ما يسرني أن لي بها الدنيا»
Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendo’akan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut.
            [Riwayat Abu Daud]

3.   Memaniskan wajah apabila bertemu: Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن أبي ذر قال قال لي النبي صلى اللهم عليه وسلم « لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق»
“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat”
           [Riwayat Muslim]
                                                     
4. Segera menghulurkan tangan untuk berjabat apabila bertemu. Rasulullah s.a.w. bersabda:

عن البراء قال قال رسول الله صلى اللهم عليه وسلم « ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يفترقا»

“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah”
            [Riwayat Abu Daud]

5.    Kerap melakukan ziarah dari semasa ke semasa. Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah 
      s.w.t. berfirman:
عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال « حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في»

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”
           [Riwayat Ahmad]

6.  Mengajukan ucap selamat, tahniah dan menyukakan hatinya dalam kesempatan dan hari-hari tertentu seperti ketika mendapat anak:

بورك لك بالموهوب وشكرت الواهب ورزقك بره وبلغ أشده
Semoga Allah memberkati anda dengan kelahiran anak ini. Semoga anda bersyukur
terhadap kurniaan Allah, mudah-mudahan anda dikurniakan kebaikan setelah ianya membesar.”
       [Diriwayatkan daripada Hussein Saidina Ali]

Ketika kembali daripada perjalanan yang jauh;
الحمد لله الذي سلمك وجمع الشمل بك وأكرمك

“Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta telah memuliakan anda dengan perjalanan tersebut”
         [Diriwayatkan daripada Para Leluhur Silam; Salaf]

  Ketika pulang dari medan jihad:
الحمد لله الذي نصرك وأعزك وأكرمك

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadamu kejayaan, kemuliaan dan pengorbanan”
        [Riwayat Muslim, Nas’I daripada A’isyah]
     
  Ketika pulang dari menunaikan Haji;
تقبل الله حجك وغفر ذنبك وأخلف نفقتك

“Semoga Allah menerima ibadah hajimu, mengampunkan dosamu, serta menggantikan semula harta yang telah anda belanjakan”
        [Riwayat Ibnu Sunni daripada Ibnu Umar]

7.    Menampilkan hadiah dalam kesempatan tertentu apabila perlu
عليك بالهدايا فإنها تورث المودة وتذهب الضغائن
Ad-Dailami meriwayatkan daripada Anas r.a.; Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Kerapkanlah memberi hadiah kerana ia boleh meneguhkan kasih sayang dan menghilangkan persanggitan hati”
            [Riwayat Thabrani]

      Dalam hadith yang lain Baginda bersabda:
            تهادوا تحابوا
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kelak kalian akan lebih mesra dan kasih”
            [Riwayat Malik]

8.    Bersikap prihatin dan suka menunaikan hajat serta keperluan sahabat.

9.    Menyempurnakan segala hak-hak ukhuwwah dengan sempurna.

Persaudaraan dalam Islam menuntut hak-hak tertentu. Rasulullah s.a.w. menerangkan:

للمؤمن على المؤمن سبعة حقوق واجبة من الله وجل، الإجلال له في عينه، والود له في صدره، والمواساة له في ماله، وأن يحرم غيبته، وأن يعوده في مرضه، وأن يشيع جنازته، وأن لا يقول فيه بعد موته إلا خيرا عز
“Tiap orang Mu’min telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mu’min yang lain: iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan, menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya, menghulurkan simpati dengan harta sendiri, mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya, menziarahinya ketika sakit, mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja sepeninggalannya”
[Riwayat Ibnu Babawaih]


                                               Oleh : Ustaz Abdul Ghani Samsudin                    



No comments:

Post a Comment